TAWAU : Dua keluarga dilaporkan terperangkap selepas kawasan penempatan mereka di Kampung Sungai Gading Batu 15 dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda sejak awal pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 pagi melalui talian Balai Bomba Tawau.
Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau yang diketuai oleh PBK II Mohd Hafidz bin Musa bersama tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai, menggunakan dua jentera (Lori dan Vigo) serta sebuah bot penyelamat (BP45-1).
“Maklumat awal mendapati terdapat dua keluarga yang masih terperangkap akibat arus air yang kuat. Anggota kini sedang menjalankan usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke kawasan lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan keadaan masih dalam pemantauan pihak bomba.
