
KOTA KINABALU : Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah, Kefayatullah Malik Aman melahirkan rasa kecewa dengan kandungan drama bersiri tempatan ketika ini yang memaparkan kisah kecurangan seorang isteri terhadap suaminya.
Beliau berkata, bukan sekadar itu adegan melawan kata-kata suami, jalan cerita yang terlalu banyak memaparkan adegan tidak sihat antara seorang isteri dan lelaki lain adalah bertentangan dengan nilai agama serta boleh memberi contoh buruk kepada masyarakat.
“Sudahlah dalam drama itu ditunjukkan lelaki perempuan berpegangan, berpelukan,kemudian dipromosikan pula kecurangan seorang isteri. Ini sangat tidak sihat.
“Sepatutnya penggiat industri drama mencari jalan cerita yang lebih baik dan mendidik,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, drama bersiri mengambil masa yang panjang sebelum sampai kepada pengajaran, sedangkan kebanyakan isi kandungannya hanyalah adegan kecurangan dan maksiat yang berulang-ulang.
“Dalam semua agama melarang mengganggu isteri orang. Jangan normalisasikan adegan seperti ini kerana bimbang akan menjadi kebiasaan dan ikutan. Saya sedih, dan berharap pihak berwajib dapat memantau isi kandungan drama di Malaysia, apalagi yang dihasilkan oleh anak tempatan beragama Islam,” ujarnya.
Beliau menegaskan mesej pengajaran dalam sesebuah drama agak lambat bayangkan kalau drama itu 30 siri, 29 siri adegan curang,lawan suami, maksiat, cuma 1 siri terakhir menceritakan pengajaran disebalik drama tersebut,”katanya.
Menurutnya, ini tidak wajar dibiarkan terlalu lambat sampai maksud tersirat, melainkan filem, filem pendek atau telemovie yang cuma perlu menonton dua jam untuk mengetahui apa pengajaran di sebalik cerita, sebaliknya kandungan perlu menonjolkan nilai yang baik sejak awal agar penonton mendapat manfaat positif.