SHAH ALAM: Kecekalan dan sumbangan berterusan dalam memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) melayakkan Dr Hajah Fatimah Sabrina binti Moahmmad, anak jati Sabah, menerima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU Nusa UiTM (AIKON) 2025 pada peringkat kebangsaan, semalam.
Anugerah berprestij itu disampaikan sempena Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung di AEON Hall, AEON Mall Shah Alam, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, ketekunan serta sumbangan inspiratif beliau dalam pelbagai bidang.
Majlis anjuran Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM itu bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” dan mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasa penglibatan komuniti OKU secara inklusif dan bermakna di institusi pengajian tinggi.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, yang menegaskan kepentingan ekosistem sokongan menyeluruh bagi melahirkan warga OKU berdaya saing, berdikari serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Dr. Fatimah Sabrina, yang merupakan OKU fizikal sejak 2015, ialah seorang doktor perubatan, penjawat awam serta pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau turut dikenali sebagai tokoh OKU yang aktif menggerakkan inisiatif berimpak tinggi merentas sektor, termasuk kesihatan, pendidikan dan advokasi dasar.
Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pascasiswazah UiTM dan kini giat terlibat dalam program kesihatan komuniti, advokasi hak OKU di peringkat dasar, penyertaan dalam forum nasional serta kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, Dr Fatimah Sabrina turut memegang jawatan Presiden Persatuan Alzheimer Sabah, yang memfokuskan sokongan kepada pesakit dan penjaga Alzheimer, serta Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia, yang memperjuangkan kepimpinan wanita dan keterangkuman sosial.
Penglibatan aktif beliau membuka ruang dialog, meningkatkan kesedaran awam serta memperluas peluang penyertaan golongan OKU dan kumpulan rentan dalam arus pembangunan negara.
Mengulas pengiktirafan diterima, Dr Fatimah Sabrina berkata anugerah berkenaan diharap menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU untuk terus melangkah ke hadapan, di samping menegaskan bahawa setiap individu mempunyai nilai dan potensi tersendiri apabila diberikan peluang serta sokongan yang adil dan inklusif.
Katanya, Anugerah AIKON itu sekali gus mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam mempromosikan keterangkuman sosial, keadilan dan kesaksamaan dalam pendidikan serta pembangunan insan di peringkat kebangsaan.
