
KOTA KINABALU: Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA) menggesa supaya Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya jangan terlalu menunggang isu sehingga mencetuskan ketidak ketenteraman awam.
Ini susulan daripada amaran Pejabat Peguam Negara (AGC) yang memberikan notis kepada Ketua Pembangkang Sabah itu susulan kenyataan keterlaluannya berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir dalam ceramah awamnya di Batu Sapi, Sandakan tempoh hari.
Presiden Kehormat TCA, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, sebagai seorang figura politik yang dikenali, Ahli Parlimen Semporna itu perlu menjaga sensiviti masyarakat di Sabah terutamanya isu Zara yang kini sudah menjalani inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Jelas beliau, sebagai ‘orang lama’ dalam pentadbiran kerajaan pusat dan negeri, sudah tentu Mohd Shafie peka dengan proses undang-undang yang perlu dihormati, bukannya menimbulkan persepsi jahat serta berbaur fitnah.
“Saya seperti rakyat Sabah lain ada menonton video tular beliau dan di dalam ceramah tersebut, beliau secara jelas melabel kes Zara ini adalah kes bunuh malah dalam ucapannya ternyata beliau merendah-rendahkan keibawaan pihak berkuasa yang melaksanakan kewajiban mereka dalam kes itu.
“Kenyataannya itu telah membawa reaksi daripada Pejabat Peguam Negara yang mana mereka menyifatkan kenyataan itu mengundang persepsi tidak tepat di kalangan masyarakat selain menggangu prosiding mahkamah.
“Sudah-sudahlah Datuk Mohd Shafie, janganlah terlalu menunggang isu, fikir-fikirkanlah kifarah menanti akibat perbuatan suka menghasut, suka menfitnah orang baik-baik, “katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Terdahulu, Mohd Shafie sekali lagi mengundang kontroversi susulan ucapan di ceramahnya di Batu Sapi baru-baru ini yang dipercayai membuat dakwaan kes kematian Zara adalah pembunuhan.
Perkara itu membawa kepada kenyataan media daripada pihak AGC dan pasukan peguam bela yang menyifatkan kenyataan tersebut mencabar keibawaan mahkamah selain berpotensi menggangu perjalanan inkues.
Sementara itu, Najib Tay pada masa sama menjelaskan kontroversi baharu yang dibuat ADUN Senallang tersebut bukanlah kali pertama dan beliau sememangnya tidak asing lagi membuat kenyataan yang dilihat bersifat retorik serta mampu menimbulkan kegelisahan umum.
“Tidak serik dengan kontroversi dan saman fitnah, beliau juga baru-baru ini mencetus kemarahan penganut agama lain apabila menyebut perkataan Kafir secara terbuka di pentas ceramah beliau di Tenom tempoh hari.
“Saya bukan mahu menuduh, tapi perkara ini semakin menjadi-jadi seolah beliau kebal daripada perundangan dan sesuka hati mengeluarkan kenyataan menguris hati rakyat Sabah.
“Inilah memperlihatkan sisi sebenar siapa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau sanggup berbuat apa sahaja asalkan musuhnya jatuh dan dalam kes ini, beliau menuduh bermacam-macam hal kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim…sudah-sudahlah Datuk Seri, ” katanya lagi.