
KUALA LUMPUR: Kerajaan kini mengutamakan penggunaan gas di Sabah untuk penjanaan kuasa elektrik selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, semasa menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan berapakah jumlah gas yang diperuntukkan kepada Sabah pada setiap tahun.
“Apakah dasar PETRONAS dalam kepenggunaan gas di Sabah yang seharusnya mengutamakan penggunaan gas untuk keperluan elektrik, diikuti oleh petrokimia dan ketiga, Liquefied natural gas (LNG).
“Mengapa di Sabah yang sebaliknya pula berlaku?”
Menjawab soalan tersebut, Azalina menjelaskan bahawa purata pengeluaran gas di Sabah antara 2021 hingga 2025 adalah sekitar 843 juta kaki padu standard sehari (MMscf/d).
“Daripada jumlah itu, 54% digunakan untuk keperluan domestik Sabah, termasuk penjanaan kuasa elektrik dan industri, manakala 46% selebihnya diperuntukkan bagi LNG.
“Dasar PETRONAS dalam penggunaan gas di Sabah adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Sabah yang mengutamakan penggunaan gas kepada domestik untuk keperluan elektrik, diikuti dengan industri dan LNG,” kata Azalina dalam jawapan bertulis.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik 2025 pada Rabu, Madius kemudiannya merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan kerana menyusun semula dasar keutamaan pengagihan gas.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan kerana memperbetulkan dasar pengagihan gas di Sabah, yang mana sebelum ini keutamaan diberi kepada penghantaran gas ke Bintulu untuk LNG, dan hanya selepas itu barulah untuk penjanaan elektrik di Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara ini telah berulang kali dibangkitkannya dalam sidang-sidang Parlimen yang lalu demi memastikan hak rakyat Sabah terhadap sumber tenaga negeri sendiri tidak dipinggirkan.
“Dengan dasar baharu ini, keperluan tenaga Sabah khususnya bekalan elektrik diberi tempat sewajarnya dan ini adalah satu langkah ke hadapan yang sangat dialu-alukan,” tambah beliau”