Merujuk kepada tuduhan yang kembali tular di beberapa laman media sosial berhubung dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pentadbiran MUIS yang melibatkan pengurusan dana Tabung Zakat, pihak MUIS sekali lagi ingin menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah dakwaan lama yang tidak berasas sama sekali.
Sejak awal perkara ini ditularkan ia turut mendapat perhatian Y.A.B. Ketua Menteri bersama Menteri yang bertanggungjawab Hal Ehwal Agama dan telah mengarahkan agar perkara tersebut disiasat secara menyeluruh.
Pada masa yang sama MUIS telah mengambil tindakan saman fitnah kepada pihak yang menyebarkan fitnah tersebut. Ketika ini prosiding Mahkamah masih lagi berjalan dan wajar dihormati oleh semua pihak.
Bagi membuktikan ketelusan dan integriti MUIS dalam menguruskan dana zakat umat Islam, pihak MUIS telah melaksanakan perkara-perkara seperti berikut Memberikan kerjasama dan ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk menyiasat keseluruhan akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat. Hasil siasatan tersebut, tidak ditemukan sebarang unsur salah laku atau jenayah terhadap mana-mana pegawai atau pihak dalaman MUIS Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan audit menyeluruh terhadap akaun kewangan MUIS, termasuk Tabung Zakat pada setiap tahun.
Hasilnya, MUIS telah dianugerahkan Sijil Tanpa Teguran selama lima (5) tahun berturut-turut, yang membuktikan bahawa pengurusan kewangan MUIS adalah telus berhemah dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Piawaian Perakaunan dan juga Enakmen-Enakmen yang berkaitan Dari sudut pengurusan kualiti, MUIS juga telah berjaya memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021 hasil audit pematuhan tahunan yang dijalankan oleh badan pensijilan bertauliah.
Ini menunjukkan setiap proses kerja MUIS dilaksanakan secara sistematik, profesional dan mengikut piawaian yang ditetapkan dan Selaras dengan komitmen untuk mencegah dan mengekang gejala rasuah, pihak pengurusan MUIS juga kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (Anti-Bribery Management System – ABMS) MS ISO 37001:2016. Langkah ini adalah manifestasi jelas kesungguhan MUIS memastikan tadbir urusnya kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tohmahan berunsur jahat yang sengaja dicipta dan disebarkan bagi menjatuhkan imej MUIS sebagai institusi Islam yang berperanan penting dalam memperkasa umat Islam dan menjaga kebajikan asnaf di Sabah.
MUIS akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Pihak MUIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menjejaskan imej, nama baik dan maruah MUIS sebagai institusi Islam yang dihormati di negeri ini.
