
SEMPORNA : Cubaan menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna dalam satu operasi bersepadu awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi di perairan Tanjung Kapur, sepasukan anggota Maritim yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan hasil maklumat risikan.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, pihaknya menggerakkan bot BANGGI 10 ke lokasi dan menemui sebuah bot yang telah diubah suai dipercayai untuk menambah kapasiti tangki bahan api bagi tujuan penyeludupan.
“Tekong bot bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami dengan memecut masuk ke kawasan cetek sebelum terjun dan meloloskan diri ke dalam hutan bakau,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa kira-kira 1,100 liter petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini. Turut dirampas dalam operasi itu ialah bot kargo, enjin sangkut 200 kuasa kuda dan pam elektrik.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM155,000.
Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran sah. Semua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.
Menurut Amir, Maritim Malaysia akan terus memperhebat kawalan dan penguatkuasaan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan yang semakin berani.