
LAHAD DATU : Seorang penganggur berusia 52 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan cubaan merogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga anak jirannya, bulan lalu.
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Berdasarkan pertuduhan, pada 29 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi ,tertuduh didakwa memanggil mangsa yang ketika itu berseorangan di rumah, menarik tangannya ke sebuah pondok berhampiran sebelum melakukan percubaan merogol.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dengan bantuan ahli keluarga.
Pemeriksaan perubatan oleh pakar O&G di Hospital Lahad Datu mendapati tiada kesan koyakan pada selaput dara mangsa, namun tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, hasil saringan air kencing mendapati tertuduh juga didapati positif dadah jenis syabu,oleh itu tertuduh turut menghadapi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan laporan Child Interview Centre (CIC).
Pendakwaan dikendalikan oleh Insp Sitti Zubaeda Hj M Kasim.