PUTATAN: Penyebaran maklumat tidak sahih di platform digital semakin menjadi cabaran utama dalam memastikan keharmonian masyarakat, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi hari ini memudahkan informasi tersebar dengan pantas, namun tidak semua kandungan yang dikongsi itu benar atau mempunyai sumber yang sah.
Menurutnya, sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menyebarkan cerita palsu hanya mengundang perpecahan dan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Cabaran kita dalam teknologi digital sekarang ini adalah cerita-cerita tidak sahih yang diperbesar-besarkan dan disebarkan oleh pihak yang kurang bertanggungjawab.
“Sebab itu masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak menerima bulat-bulat apa maklumat yang datang melalui teknologi digital,” katanya.
Shahelmey menasihatkan orang ramai supaya membudayakan tabiat menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum dikongsi, bagi mengelakkan fitnah atau maklumat palsu terus menular.
“Apa juga maklumat yang diperolehi perlu disemak kesahihannya terlebih dahulu sebelum dikongsi. Dengan itu, usaha menyuburkan perpaduan masyarakat dapat dipelihara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 peringkat Sabah yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, hari ini.
Shahelmey menegaskan bahawa perpaduan adalah asas utama kekuatan negeri dan tidak wajar digugat oleh berita palsu yang tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak.
