
LAHAD DATU : Persatuan Hal Ehwal & Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) mencadangkan kerajaan menurunkan had umur pelaku juvana daripada bawah 18 tahun kepada bawah 15 tahun.
Timbalan Presidennya, Datuk A. Nagaraju berkata, langkah itu perlu bagi memastikan undang-undang menepati keperluan semasa memandangkan kes jenayah melibatkan remaja semakin membimbangkan.
Katanya, pelaku yang disabitkan kesalahan biasanya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, namun had umur sedia ada wajar dinilai semula.
“Selain itu, CAPS turut mencadangkan agar kanak-kanak berusia bawah 16 tahun diharamkan mempunyai akaun media sosial seperti TikTok, Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain. Jika larangan ini dilanggar, ibu bapa boleh dikenakan denda,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau menegaskan penggunaan media sosial di usia 15 tahun ke bawah boleh memberi kemudaratan sosial kepada kanak-kanak, justeru penting untuk mengembalikan zaman kanak-kanak yang sebenar serta menggesa ibu bapa lebih peka terhadap isu tersebut.
“Pihak kerajaan perlu melakukan reformasi kanak-kanak bagi memastikan generasi masa hadapan tidak terdedah kepada permasalahan yang timbul akibat media sosial,” katanya.
Dalam masa sama, CAPS turut mengusulkan agar sistem persekolahan diubah kepada satu sesi sahaja, bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang, bagi memberi kesan positif kepada proses pembelajaran pelajar.