
Pilihan raya negeri Sabah kian hampir dan gelanggang politik kini semakin berasap dengan permainan dalaman parti.
Tatkala hanya berbaki beberapa minggu sebelum penamaan calon, isu paling hangat bukan sekadar siapa bertanding di mana, tetapi siapa yang layak mewakili suara rakyat.
Inilah waktu di mana parti parti besar sedang berperang dalam senarai sendiri,antara calon disukai pemimpin dengan calon yang benar- benar disukai rakyat.
Presiden dan pucuk pimpinan parti jangan terus lena dalam zon selesa.
Pilihlah calon yang sudah berpeluh berkhidmat di lapangan, bukan calon kayangan yang hanya muncul bila pilihan raya dekat.
Politik bukan pertandingan populariti dalam bilik mesyuarat, ia tentang siapa yang boleh menang hati rakyat.
Kalau masih memilih ikut rasa peribadi, bersedialah menanggung malu di malam keputusan nanti.
Hampir di kesemua kawasan terdapat krisis dalam pemilihan calon terutama bagi parti yang mempunyai gabungan.
Di Merotai, mula kedengaran rungutan akar umbi mengenai salah sebuah parti yang mana calon payung terjun yang kononnya mahu diturunkan tanpa kerelaan jentera tempatan yang sudah lama berkerja keras.
Di Sulayaban pula, khabar bertiup kencang bahawa calon parti luar juga akan diletakkan bagi mewakili GRS langkah yang nyata mengundang rasa kurang senang dalam kalangan ahli komponen sendiri.
Apakah pemimpin atasan parti sudah begitu rakus hingga sanggup mengetepikan suara mereka yang bekerja di bawah semata mata mahu menjaga hubungan politik di atas meja?
Fenomena begini bukan sahaja mencalar imej parti, malah membuka ruang kepada perpecahan dalaman.
Lebih parah apabila ada individu yang sudah lama mengidamkan kerusi mula melancarkan provokasi di media sosial, menyerang peribadi pesaing dalam parti sendiri.
Taktik ini bukan tanda keberanian, tetapi bukti kegagalan mendidik ahli menjadi pejuang politik yang matang.
Pemimpin yang membiarkan budaya begini hanya menanam bom jangka dalam rumah sendiri.
Sudah sampai masa pucuk pimpinan berhenti bermain politik selera sendiri.
Kalau hendak ambil hati gabungan, pastikan dulu calon yang dipersetujui benar benar boleh menang.
Mereka yang “tertinggal kapal” bolehlah diberi tempat sebagai ADUN lantikan, bukannya dipaksa bertanding di kerusi yang akhirnya menyusahkan seluruh jentera di bawah.
Politik Sabah sudah cukup lama menjadi medan eksperimen orang atas. Rakyat kali ini tidak akan terpedaya lagi.
Ingat, PRN bukan gelanggang mencuba nasib tetapi medan pertarungan maruah parti.
Akar umbi kini lebih celik daripada dulu.
Jika pemimpin terus buta pada suara rakyat dan memilih calon ikut sedap rasa, maka jangan salahkan pengundi bila undi berpaling arah.
Rakyat Sabah sudah muak dengan politik suka suka.
Yang mereka mahu hanya satu wakil mereka yang benar benar turun padang, bukan turun payung.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025