
KOTA KINABALU: Cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk melantik seorang Timbalan Ketua Menteri (TKM) daripada masyarakat Tionghoa disifatkan sebagai langkah realistik, inklusif serta mampu memperkukuhkan kestabilan politik Sabah.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, berkata cadangan itu bukanlah retorik politik, sebaliknya satu formula penting bagi mengecilkan jurang perbezaan sosiopolitik di negeri ini.
“Ini bukan isu kepartian semata-mata. Ia langkah asas untuk memperkukuhkan perpaduan dan memperlihatkan pengiktirafan kepada masyarakat Tionghoa sebagai sebahagian daripada tonggak pembangunan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan masyarakat Cina di Sabah mempunyai keunikan tersendiri kerana diwakili oleh banyak parti politik berbanding negeri lain.
Justeru, katanya, mereka wajar diangkat dengan jawatan setinggi TKM bagi menjamin keterwakilan yang adil.
Beliau turut menyifatkan langkah Hajiji itu sebagai berbeza dengan gaya kepimpinan parti pembangkang yang menurutnya tidak menghormati dan mengiktiraf masyarakat Tionghoa.
“Ada pemimpin pembangkang menggunakan istilah yang tidak sepatutnya terhadap kaum Cina di Sabah. Malah, ada juga yang secara terbuka menolak cadangan melantik TKM daripada etnik Tionghoa. Ini jelas memperlihatkan politik sempit dan rasis yang merugikan Sabah,” katanya.
Aksyah dalam pada itu menyeru masyarakat Tionghoa agar memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Beliau yakin mandat besar akan memberi ruang kepada kerajaan pimpinan Hajiji untuk terus mengangkat bukan sahaja kedudukan masyarakat Tionghoa, tetapi juga martabat Sabah sebagai negeri yang aman, makmur dan sejahtera.
“Hajiji dan GRS mengiktiraf masyarakat Tionghoa sebagai penyumbang utama politik, ekonomi dan pembangunan Sabah. Malah, kerajaan negeri sudah membuktikan pengiktirafan itu dengan menambah peruntukan bagi pendidikan serta kegiatan sosiobudaya masyarakat Tionghoa,” katanya.
Aksyah menegaskan, kestabilan politik Sabah hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan erat antara semua kaum dan etnik, sekali gus menolak politik perpecahan yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.