
KENINGAU: Isu buli yang semakin berleluasa di sekolah wajar dipandang serius dan ditangani segera sebelum menjadi budaya berbahaya dalam kalangan pelajar, tegas bekas Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, Keningau, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera merangka strategi menyeluruh bagi membendung gejala buli, termasuk memperkukuh aspek undang-undang dan peraturan disiplin sekolah.
“Akta Pendidikan wajar disemak semula dengan memasukkan kesalahan buli sebagai satu kesalahan berat yang perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, guru di sekolah sudah berusaha menangani isu disiplin, namun beban tugas yang tinggi sering membataskan tumpuan terhadap pemantauan buli. Justeru, beliau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan khas di sekolah untuk mengurus hal ehwal disiplin dalam kalangan bukan guru.
“Bagi sekolah berasrama, peranan warden juga seharusnya dipikul oleh individu bukan daripada kalangan guru, agar warga pendidik dapat memberi fokus penuh kepada proses pengajaran dan pembelajaran,” tambahnya.
Yazid yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menegaskan, usaha membendung gejala buli tidak boleh dipikul sekolah semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan kerjasama erat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi keselamatan serta komuniti setempat.
Beliau turut menyarankan program pendidikan sahsiah, kempen kesedaran, sesi kaunseling dan bimbingan rakan sebaya diperkasakan agar pelajar benar-benar memahami kesan negatif buli terhadap diri dan masyarakat.
Yazid berkata, teknologi digital boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh mekanisme pencegahan dengan mewujudkan talian aduan khas atau aplikasi mudah alih yang membolehkan pelajar serta ibu bapa melaporkan kes buli secara pantas dan selamat.
“Langkah-langkah ini penting untuk melindungi kesejahteraan serta keselamatan pelajar, sekali gus memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, kondusif dan menyeronokkan untuk proses pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan KPM pada tahun 2023 menunjukkan lebih 3,000 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh negara, melibatkan kes buli secara fizikal, lisan mahupun siber. Sementara itu, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan peningkatan aduan berkaitan buli remaja, menandakan gejala ini semakin serius dan perlu ditangani segera.