
Lahad Datu : Satu objek dipercayai bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb ditemui di tebing Sungai Segama pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, penemuan itu dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ketika menjala ikan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati objek berkenaan berukuran kira-kira 40 sentimeter lilit, panjang 30 sentimeter dan dianggarkan seberat 500 lbs. Ia dipercayai merupakan bom buatan British yang ditinggalkan sejak era Perang Dunia Kedua,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan terbabit sehingga kerja-kerja pelupusan dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah.