
LAHAD DATU: Desas-desus kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan bukanlah perkara baharu, sebaliknya pernah berlaku melalui gerakan dikenali sebagai Langkah Kinabalu, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, sejarah itu membuktikan kedua-dua parti pernah bersekongkol dengan tujuan sama iaitu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.
“BN pada asalnya bersama kita tetapi akhirnya mengkhianati rakan sendiri dengan berpakat bersama Warisan. Mereka cuba merampas kuasa melalui pintu belakang, namun ramai wakil rakyat masih waras dan menolak politik tanpa penghujung ini,” katanya selepas merasmikan Malam Kebudayaan Etnik & Food Culture 2025 di perkarangan pawagam lama di sini, malam tadi.
Menurut Nizam, rakyat sudah muak dengan permainan politik sebegitu kerana ia hanya menjejaskan kestabilan negeri.
Sebaliknya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, katanya, telah membuktikan pencapaian nyata menerusi pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya.
“Di bawah GRS, pelaburan meningkat, ekonomi berkembang dan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan tanpa mengira agama, kaum mahupun latar belakang. Inilah bukti sebuah kerajaan yang ikhlas bekerja, bukan sekadar pandai berjanji,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik pentadbiran 26 bulan lalu yang disifatkannya sebagai kerajaan paling lemah dan gagal kerana menghentikan banyak projek bermanfaat termasuk projek Pan Borneo serta bekalan air.
“Kerajaan sekarang perlu dipertahankan kerana ia lebih banyak memberi hasil nyata berbanding kerajaan lalu yang hanya pandai bercakap, tetapi gagal menunaikan janji,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menegaskan kepelbagaian budaya dan etnik Sabah wajar dipertahankan kerana ia bukan sahaja memupuk perpaduan, malah mampu menjadi tarikan pelancongan yang menguntungkan negeri serta masyarakat tempatan.
Beliau mencadangkan agar Program Etnik & Food Culture dijadikan acara tahunan seperti Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang berjaya menarik penyertaan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Hadir sama dalam majlis tersebut Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah.