
KOTA KINABALU: Pengumuman rasmi Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia bahawa UMNO/BN Sabah menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) dianggap sebagai titik tolak penting bagi menguji kekuatan sebenar parti-parti tempatan di Sabah.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, berkata keputusan itu seharusnya dilihat dari sudut positif kerana ia membuka ruang kepada rakyat Sabah untuk membuat pilihan secara demokratik tanpa sebarang kompromi politik yang boleh menggugat kestabilan negeri.
“Saya melihat pengumuman ini menggembirakan ahli dan penyokong GRS, namun ia bukanlah petanda awal kemenangan. Kemenangan hanya bermakna apabila GRS secara rasmi diumumkan sebagai parti yang mendapat mandat rakyat.
“Oleh itu, jentera parti perlu meningkatkan keupayaan, memperkukuh kerjasama strategik dan memastikan setiap sokongan daripada rakan komponen serta penyokong Pakatan Harapan (PH) Sabah diterjemahkan kepada undi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aksyah berkata, pendedahan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, bahawa punca utama penolakan kerjasama adalah kerana BN hanya ditawarkan lapan kerusi, mendedahkan realiti sebenar kedudukan BN di Sabah.
Katanya, keputusan GRS yang enggan melayan tuntutan BN untuk bertanding di kerusi yang telah dimenangi gabungan itu adalah tepat dan selaras dengan prinsip Incumbency Rule — mempertahankan kerusi yang sedia dimenangi.
“Keputusan ini wajar dan rasional berdasarkan keadaan semasa. Ia ibarat menolak pinangan secara berhemah tetapi tegas. Hakikatnya, GRS tidak pernah bercadang untuk bekerjasama dengan BN selepas episod Langkah Kinabalu yang mengganggu kestabilan politik negeri.
“BN sendiri yang membuka ruang perpecahan, maka sewajarnya mereka menerima hakikat bahawa landskap politik Sabah kini dipacu oleh parti-parti tempatan,” katanya.
Beliau menjelaskan, dengan keputusan BN itu, sekurang-kurangnya enam kerusi yang dipertahankan GRS turut akan ditandingi BN pada PRN-17 nanti.
Bagaimanapun, katanya, pertembungan itu seharusnya dilihat positif kerana ia menjadi medan terbaik untuk mengukur sokongan rakyat.
“Hubungan antara GRS dan BN kini ibarat minyak dan air, bukan seperti aur dan tebing. Jika benar rakyat memilih GRS, maka PRN kali ini adalah medan paling tepat untuk membuktikannya. Demokrasi memberi hak kepada rakyat menentukan siapa yang layak memimpin,” jelasnya.
Menyentuh kedudukan PH, Aksyah berkata gabungan itu dilihat lebih selesa bersama GRS, khususnya di kawasan yang tidak berlaku pertembungan dengan BN.
Katanya, kerjasama erat yang sudah berlangsung lebih dua tahun terbukti membuahkan hasil positif terhadap kestabilan politik Sabah.
“Hubungan politik GRS-PHPlus dibina berasaskan keikhlasan dan kejujuran, tanpa sebarang paksaan. Hasilnya, kedua-dua gabungan berjaya memimpin Sabah dengan baik hingga ke hari ini. Saya yakin PH akan lebih cenderung memilih kestabilan politik bersama GRS kerana ia sudah terbukti berfungsi,” katanya.
Beliau juga menegaskan, di kawasan yang berlaku pertembungan antara GRS dan BN, kebijaksanaan calon akan diuji dalam menarik sokongan ahli dan penyokong PH.
Aksyah turut mengingatkan rakyat Sabah bahawa PRN-17 adalah peluang emas untuk membebaskan negeri daripada cengkaman kuasa politik luar yang selama ini sering mempengaruhi hala tuju negeri.
“Pilihan raya ini peluang rakyat Sabah mengangkat parti tempatan sebagai tonggak pemerintahan. Inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa aspirasi Sabahan hanya boleh ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri, bukan ditentukan oleh kuasa politik dari seberang yang tidak memahami realiti dan keutamaan kita di sini,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bahawa PRN kali ini peluang rakyat memperkukuh genggaman kuasa parti tempatan, adalah mesej jelas bahawa masa depan Sabah wajar ditentukan oleh Sabahan sendiri.
“Sekiranya rakyat mahu melihat Sabah terus maju melalui Wawasan Sabah Maju Jaya, pilihlah GRS. Jangan kita ulang kesilapan lalu dengan memberi ruang kepada pihak luar menentukan nasib kita. Hanya dengan kestabilan politik, pembangunan negeri dapat dijayakan secara berterusan,” katanya.
Aksyah menegaskan, keputusan rasmi BN menolak kerjasama juga secara tidak langsung memberi peluang kepada GRS untuk membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar gabungan baru, tetapi benar-benar pilihan rakyat Sabah yang mahu melihat politik tempatan terus memacu negeri ke arah kemajuan.
“Ringkasnya, jika Sabahan ingin Sabah dipimpin secara jujur, telus dan stabil, jangan pilih yang lain. Pilih dan undilah GRS,” katanya.