KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, Briged Jeneral Kehormat (Rela) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, yang merakamkan penghargaan terhadap jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan hak Sabah termasuk pembayaran 40 peratus hasil bersih seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata jaminan itu merupakan perkembangan positif yang mencerminkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk bergerak ke fasa pelaksanaan lebih konkrit demi kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata, pada masa sama, komitmen itu perlu diperkukuh melalui garis masa pelaksanaan yang jelas, teratur dan realistik supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh serta mampan.
“Rakyat Sabah menaruh harapan tinggi. Hak MA63 bukan tuntutan baharu, tetapi hak yang dijamin sewaktu pembentukan Malaysia. Pelaksanaan yang tersusun akan memperkukuh perpaduan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yazid turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menurutnya sentiasa membawa suara rakyat Sabah ke meja rundingan secara berhemah dan berdasarkan semangat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pendekatan harmoni yang diamalkan Ketua Menteri diyakini mampu mencapai keputusan terbaik buat Sabah,” ujarnya.
Beliau berkata, persatuan itu berharap mesyuarat yang dijadualkan sebelum pertengahan Januari 2026 akan menghasilkan mekanisme pembayaran yang teratur, konsisten dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah selaras dengan semangat MA63 dan prinsip perkongsian adil.
Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, katanya, berdiri teguh menyokong kerjasama positif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Bersama kita memperkukuh keadilan, memperkasa perpaduan dan mengembalikan hak yang sewajarnya demi masa depan Sabah dan Malaysia,” katanya.
