Putatan: Konsep berkhatan beramai-ramai terus mendapat tempat di kalangan ibu bapa di peringkat daerah Putatan dengan penyertaan lebih 150 peserta pada tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY), acara tahunan yang dianjurkan pada peringkat Parlimen dan DUN itu dilihat menjadi pilihan ramai ibu bapa bagi menunaikan kewajiban sebagai umat Islam di peringkat kanak-kanak.
“Seramai 151 orang berdaftar dalam program Majlis Berkhatan Perdana bersempena musim cuti sekolah tahun ini yang dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat.
“Alhamdulillah, selain dapat meringankan beban para ibu bapa, program ini seterusnya dapat membentuk kepada disiplin kita sebagai Muslim yang mana berkhatan dituntut di dalam agama.
“Acara ini sudah dilaksanakan secara tahunan oleh pihak kami dan penyertaan juga amat menggalakan daripada kalangan para peserta, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana sempena cuti sekolah anjuran pihaknya dan Pejabat Parlimen P 173 Putatan di Masjid Daerah Putatan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program itu, SAY berkata terdapat lima lokasi acara berkhatan diadakan secara serentak membabitkan masjid serta surau di sekitar Putatan.
Selain Masjid Daerah Putatan, acara tersebut turut diadakan di Masjid Kariah Sembulan, Masjid Al Jannah Kg Petagas, Surau PPR Sri Keramat dan Masjid Taqwa, Kinarut.
