
KOTA KINABALU : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian Allahyarhamah Zara Qairina, sambil mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Yang Dipertua ABIM Sabah, Mohd Zikri Zainudin berkata, walaupun masyarakat turut berdukacita dengan kejadian itu, semua pihak perlu berhikmah dan berhemah dalam menanggapi isu berkenaan. Katanya, Islam menekankan prinsip menjaga maruah manusia (Karamah Insaniah) dan menghindari fitnah, tuduhan serta dakwaan jahat yang boleh merosakkan keharmonian.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menerima atau menyebarkan berita tanpa usul periksa, sebaliknya merujuk kepada kenyataan rasmi daripada pihak berwajib atau peguam keluarga Allahyarhamah. Tegasnya, segala bentuk prasangka, mencari aib, mengumpat atau membuat andaian tidak berasas adalah perbuatan yang ditegah dalam Islam dan boleh mengundang fitnah.
“Memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan adalah kunci untuk memastikan kebenaran dan keadilan tertegak. Andaian dan tuduhan tidak membantu siasatan, malah boleh menjejaskan reputasi individu atau institusi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ABIM Sabah turut menggesa masyarakat agar tidak menjadikan kes itu sebagai bahan untuk menyebarkan kebencian atau propaganda politik, sebaliknya memainkan peranan menyebarkan maklumat tepat. Beliau juga menekankan keperluan mengawal emosi dan mengelakkan perbuatan buli siber yang semakin berleluasa di media sosial.
Selain itu, ABIM Sabah menyeru Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau secara berterusan penularan spekulasi tidak terkawal di media sosial, selain memohon agar kementerian berkaitan menyediakan sokongan psikologi dan emosi kepada keluarga, guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha.
Mohd Zikri turut mengajak seluruh masyarakat agar terus berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya kebenaran serta keadilan dalam kes ini dapat ditegakkan, sambil mengalu-alukan pihak yang mempunyai maklumat untuk menghubungi peguam keluarga Allahyarhamah atau pihak berkuasa berkaitan.