
KENINGAU: Golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan tampil menyuarakan rasa kecewa dan kemarahan susulan pendedahan kegiatan sindiket pemerdagangan orang yang memperalatkan pelajar sekolah untuk tujuan pelacuran, baru-baru ini.
Ketua Wiramuda Parti STAR Liawan, Michael Tambi, berkata jenayah yang terbongkar itu bukan sahaja mengancam keselamatan remaja, malah merupakan pengkhianatan terhadap masa depan generasi muda.
“Ini bukan sekadar isu jenayah, tetapi satu perbuatan tidak berperikemanusiaan yang mencalar maruah dan keselamatan anak-anak kita.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan ini dan menuntut tindakan tegas tanpa kompromi,” tegasnya dalam kenyataan mewakili Belia Liawan, hari ini.
Beliau turut disokong oleh pemimpin belia Liawan, Richard Abin dan Izaac Wong, yang menegaskan bahawa peranan masyarakat amat penting bagi mengekang penularan jenayah sosial itu.
Insiden ini terbongkar selepas Polis Daerah Keningau, dalam operasi antara 24 hingga 29 Julai lalu, berjaya menumpaskan sindiket yang merekrut remaja perempuan termasuk dua pelajar Tingkatan Dua.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai, berkata mangsa ditawarkan kepada pelanggan di beberapa hotel sekitar pekan Keningau.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menyelamatkan empat mangsa berusia antara 13 hingga 21 tahun, manakala lapan individu ditahan bagi membantu siasatan.
Mengulas perkembangan itu, Richard berkata usaha membanteras jenayah keji ini tidak boleh disandarkan kepada pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara ibu bapa, sekolah, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat.
“Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan sikap anak-anak terutama dalam penggunaan media sosial yang sering menjadi laluan sindiket mencari mangsa. Pihak sekolah pula perlu memperkukuhkan program kaunseling dan pendidikan kesedaran,” katanya.
Sementara itu, Izaac Wong menyeru agar kerajaan negeri mempertingkat mekanisme perlindungan terhadap remaja, termasuk memperluas program pencegahan jenayah siber, pemantauan sosial serta kempen kesedaran di peringkat akar umbi.
“Kami menyeru agar masyarakat Liawan khususnya, dan Keningau amnya, bangkit bersama menolak sebarang bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak dan wanita. Jangan biarkan sindiket ini berakar umbi dan merosakkan masa depan generasi kita,” katanya.
Belia Liawan turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Keningau atas tindakan pantas menyelamatkan mangsa, namun menegaskan bahawa perjuangan membanteras jenayah sosial ini perlu dipikul bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.