KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Haji Mohd Bahrin Abd. Karim menyambut baik pembentangan Belanjawan Sabah 2026 oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang beliau sifatkan sebagai belanjawan yang memacu pembangunan seimbang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas itu berkata, belanjawan berjumlah RM6.402 bilion yang turut mencatat lebihan RM28 juta itu menunjukkan keupayaan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengurus fiskal negeri secara berhemat meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Belanjawan 2026 ini bukan sahaja realistik, tetapi berlandaskan hala tuju yang jelas dan teratur untuk tempoh lima tahun pentadbiran baharu dibawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Ia meletakkan Sabah pada landasan kukuh untuk bergerak ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tumpuan kepada lima tonggak utama — pembangunan sektor produktif, pengurangan jurang sosioekonomi, pemerkasaan modal insan, peningkatan infrastruktur pemboleh daya serta pengukuhan sistem penyampaian kerajaan — adalah strategi menyeluruh yang memenuhi keperluan negeri.
Mohd.Bahrin berkata, peralihan nisbah perbelanjaan mengurus kepada pembangunan, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan projek-projek berimpak tinggi dapat terus dilaksanakan, khususnya dalam infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, pertanian dan industri.
“Rakyat mahu melihat projek yang bergerak dan memberikan hasil. Belanjawan ini menyediakan keupayaan untuk melaksanakan perkara itu. Keutamaan kita adalah menjamin pembangunan mampu dinikmati secara adil dan inklusif,” tegasnya.
Beliau turut menyambut baik peruntukan besar kepada sektor pelaburan, pelancongan, ekonomi biru serta transformasi digital yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi negeri.
“Sabah mempunyai potensi yang besar dan belanjawan ini membuka lebih banyak ruang kepada pelabur, meningkatkan pekerjaan, serta memperkukuh daya saing negeri dalam pelbagai sektor baharu,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan mengurus hasil negeri pada paras stabil walaupun berdepan tekanan harga minyak menunjukkan ketahanan ekonomi Sabah serta keberkesanan strategi diversifikasi hasil.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan GRS kekal komited untuk memperkukuh pembangunan negeri melalui pendekatan yang inklusif, bertanggungjawab dan berpaksikan rakyat.
“Belanjawan ini adalah asas kukuh untuk membawa Sabah ke tahap lebih tinggi. Kerajaan Negeri akan memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” kata Mohd Bahrin.
