KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Manan, menyifatkan pembentangan Belanjawan Sabah 2026 sebagai bukti jelas keupayaan Kerajaan Negeri mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan, sambil terus mengutamakan pembangunan serta kebajikan rakyat.
Beliau berkata, belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion itu bukan sahaja merekodkan lebihan RM28 juta, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kestabilan fiskal negeri terus terpelihara.
“Lebihan belanjawan ini membuktikan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul, berupaya menampung keperluan pembangunan tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mazlan berkata, keprihatinan kerajaan terhadap keperluan asas rakyat terserlah apabila Kementerian Kerja Raya dan Utiliti menerima peruntukan besar, iaitu RM1.122 bilion bagi Perbelanjaan Perbekalan dan RM534.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Menurutnya, peruntukan itu amat signifikan khususnya bagi menyelesaikan isu jalan rosak, meningkatkan akses ke kawasan luar bandar serta memperkukuh kestabilan bekalan air bersih.
“Ia merangkumi pelaksanaan projek naik taraf jalan kampung, jalan pertanian dan sistem bekalan air luar bandar yang sudah lama menjadi keutamaan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam aspek kebajikan rakyat, beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited menoktahkan kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah yang memberi tumpuan kepada lima intervensi utama, merangkumi perumahan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan kewangan, serta keusahawanan dan latihan.
Sejajar dengan pendekatan itu, Mazlan berkata Program SYUKUR yang menyediakan bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima, diteruskan dalam Belanjawan 2026 sebagai instrumen penting kebajikan rakyat dan pengimbangan kos sara hidup.
“Selain itu, pelbagai skim bantuan kebajikan lain turut diteruskan untuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan kanak-kanak, sekali gus memperkukuh perlindungan sosial secara bersasar,” katanya.
Mazlan turut menyambut baik penerusan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan penambahan kuota daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap DUN pada tahun 2026.
Katanya, tambahan 10 unit rumah yang dikhususkan kepada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang berkeluarga dan belum memiliki rumah sendiri adalah langkah progresif dan inklusif.
“Kerajaan Negeri juga bercadang melaksanakan kajian pemberian Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif, bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri secara lebih mampan,” katanya.
Mengulas pembangunan modal insan, beliau berkata peruntukan RM186.54 juta Perbelanjaan Perbekalan dan RM18.18 juta Perbelanjaan Pembangunan kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi menunjukkan kesungguhan kerajaan melabur dalam sektor pendidikan.
Katanya, kesinambungan 13 bantuan pendidikan sedia ada termasuk BUDI, BAIK, BAKTI, SUBFLY dan SENTOSA, selain pengenalan Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU), dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar dan mahasiswa pada 2026.
Dalam masa sama, katanya, pembangunan belia dan sukan turut diberi perhatian apabila Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif diperuntukkan RM98.06 juta, termasuk RM16.75 juta bagi pembangunan modal insan belia, RM27.21 juta bagi kemajuan sukan dan RM10.05 juta untuk prasarana sukan di bawah RMKe-13.
Mazlan berkata, peningkatan pelaburan asing dan domestik sebanyak 76 peratus pada 2025, daripada RM6.458 bilion pada 2024 kepada RM11.368 bilion, telah merancakkan lagi ekonomi Sabah.
Beliau berkata, Belanjawan Sabah 2026 turut menekankan usaha menarik lebih banyak pelaburan melalui pembangunan infrastruktur asas, penambahbaikan utiliti dan pengukuhan keyakinan pelabur bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada rakyat.
Beliau turut menyifatkan pemberian bonus sebulan gaji kepada penjawat awam negeri untuk dua tahun berturut-turut sebagai pencapaian signifikan, selari dengan keupayaan fiskal negeri yang stabil.
“Ia bukan sahaja penghargaan kepada dedikasi penjawat awam, malah mencerminkan kecekapan Kerajaan Negeri mengurus hasil secara bertanggungjawab,” katanya.
Secara keseluruhan, Mazlan menegaskan Belanjawan Sabah 2026 melebihi RM6.4 bilion itu adalah belanjawan yang realistik, berfokus kepada rakyat dan berpandangan jauh.
Beliau berharap setiap peruntukan dan inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta dipantau rapi supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah di seluruh negeri.
