
KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan pengumuman Belanjawan 2026 sebagai bukti nyata keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM6.9 bilion bukan angka kecil, sebaliknya mencerminkan tahap keyakinan dan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan Sabah terus berada di landasan kemajuan yang mampan.
Aksyah turut menzahirkan penghargaan terhadap peningkatan Pemberian Khas kepada Sabah yang melonjak kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta pada tahun 2023, sebagai langkah bersejarah yang menunjukkan kesungguhan kerajaan pusat terhadap keperluan sebenar negeri itu.
“Belanjawan kali ini jelas menggambarkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan Madani terhadap Sabah. Pemberian khas ini akan menjadi pemangkin penting kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selama ini menjadi teras hala tuju pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tambahan peruntukan pembangunan yang melibatkan projek-projek berimpak besar akan memberi kesan langsung kepada penyelesaian pelbagai isu infrastruktur yang selama ini menjadi keluhan rakyat luar bandar.
“Dengan tambahan peruntukan ini, saya penuh yakin banyak isu-isu terkait pembangunan infrastruktur akan dapat dituntaskan. Sebab itu saya tidak hairan apabila ada pihak pembangkang cuba menabur janji kononnya mampu menyelesaikan semua masalah dalam tempoh setahun hingga tiga tahun,” ujarnya.
Aksyah menegaskan, mandat yang berterusan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan dasar pembangunan fizikal dan bukan fizikal dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana digariskan dalam pelan Halatuju SMJ 2.0.
“Menjadi tanggungjawab rakyat untuk menilai dan mengekalkan kerajaan hari ini kerana ia berpaksikan hati, jiwa dan nadi tempatan rakyat Sabah,” katanya sambil menambah bahawa rakyat kini semakin matang dalam menentukan kerajaan terbaik untuk masa depan negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa dakwaan kononnya hanya Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan Sabah atau Warisan tidak sempat melaksanakannya, sebenarnya berpunca daripada faktor masa pemerintahan yang berbeza.
“Hajiji hanyalah insan biasa, namun beliau memiliki kebijaksanaan dan pengalaman yang tinggi dalam kepimpinan. Untuk melihat kejayaan dasar yang beliau ilhamkan, memerlukan tempoh optimum sekurang-kurangnya tiga penggal pentadbiran, sebagaimana BN sebelum ini,” tegasnya.
Tambah Aksyah, hanya dalam tempoh lima tahun, pelbagai kejayaan telah dicapai hasil daripada wawasan jelas dan mekanisme pentadbiran efisien yang diterapkan di bawah Wawasan Sabah Maju Jaya.
“Jika dalam tempoh tiga penggal GRS gagal membangunkan Sabah sebagaimana dirancang, barulah rakyat boleh membuat penilaian semula. Tetapi berdasarkan rekod semasa, hala tuju Sabah kini jelas dan progresif,” katanya.
Aksyah menegaskan, peningkatan peruntukan untuk Belanjawan 2026 ini juga mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan Hajiji dan gabungan GRS-PH Plus dalam mengurus tadbir negeri secara berkesan.
“Sosok Hajiji dan GRS adalah cerminan bahawa parti tempatan mampu memimpin Sabah tanpa campur tangan kuasa politik luar. Ini adalah bukti kematangan politik rakyat Sabah dalam memilih kepimpinan sendiri,” ujarnya.
Beliau yakin bahawa blok politik berasaskan dominasi parti tempatan akan terus menjadi petunjuk kepada kebijaksanaan rakyat Sabah dalam mengekalkan GRS sebagai tonggak utama pemerintahan negeri pada penggal seterusnya.