KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Sabah 2026 disifatkan sebagai langkah awal Kerajaan Perpaduan GRS Plus dalam merealisasikan fasa baharu pembangunan negeri menerusi pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah berkata, belanjawan berkenaan mencerminkan kesinambungan hala tuju kerajaan negeri selepas melalui tempoh mencabar sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, yang akhirnya menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan GRS Plus demi menjamin kestabilan politik Sabah.
Menurutnya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, wajar terus diberi kepercayaan untuk menerajui negeri bagi penggal ini, memandangkan beliau berjaya menghidupkan semula aspirasi Sabah Maju Jaya sebagai orientasi utama pentadbiran dan pembangunan Sabah.
“Halatuju itu kini diteruskan secara lebih tersusun menerusi SMJ 2.0, selari dengan keperluan semasa negeri dan harapan rakyat,” katanya ketika mengulas Belanjawan Sabah 2026, hari ini.
Aksyah berkata, tumpuan Belanjawan 2026 yang menekankan penyelesaian isu asas infrastruktur adalah tepat, sejajar dengan keperluan mendesak rakyat di bandar dan luar bandar.
Beliau turut berpandangan, kedudukan kewangan negeri yang semakin stabil ketika ini memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan perancangan pembangunan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Dengan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus, saya yakin isu-isu infrastruktur yang sekian lama menjadi kekangan pembangunan Sabah dapat ditangani secara berperingkat dan berfokus,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah menghormati pendirian Parti Warisan yang memilih untuk terus berperanan sebagai blok pembangkang, sambil menegaskan peranan semak dan imbang adalah penting bagi memastikan setiap dasar dan program kerajaan dilaksanakan dengan berkesan serta telus.
Beliau berkata, meskipun Belanjawan 2026 memberi penekanan utama kepada aspek infrastruktur, kerajaan negeri turut menambah baik pelbagai program lain agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan manifesto PRU ke-17.
“Secara keseluruhan, belanjawan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan”, katanya.
Aksyah turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan sekali lagi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjadi teras pemerintahan negeri bagi penggal ini.
“Kebijaksanaan rakyat Sabah adalah kunci kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negeri yang kita cintai ini,” katanya.
