
Lahad Datu : Seekor gajah pygmy Borneo betina ditemui mati di kawasan Blok 57, FELCRA Berhad Estate Danum, di sini, pagi semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata pemeriksaan awal tidak menemui sebarang petunjuk jenayah hidupan liar seperti kesan tembakan, kelongsong peluru atau kecederaan luaran.
Katanya, siasatan mendapati bangkai gajah berkenaan berada dalam kawasan Hutan Simpan Lembah Danum.
“Maklumat daripada pihak pengurusan FELCRA Estate Danum memaklumkan seekor gajah ditemui oleh seorang mandur ladang ketika melakukan rondaan kira-kira jam 10.20 pagi,” katanya.
“Haiwan itu dipercayai mati sejak satu hingga dua hari lalu, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan.”
Beliau menambah, operasi lanjut bersama pasukan postmortem akan dijalankan esok bagi mengambil sampel untuk analisis makmal.
Gajah pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis) itu dianggarkan seberat antara 600 hingga 1,200 kilogram dengan ketinggian sekitar 5.2 hingga 5.9 kaki.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut.