
KENINGAU: Projek pembangunan Bandukan Breezewalk siap dibina di Taman Awam Bandukan bagi menggantikan gerai jualan lama yang uzur, sekali gus memberi nafas baharu kepada kawasan rekreasi itu.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui peruntukan khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dengan tujuan meningkatkan keselesaan pengunjung selain menyediakan ruang perniagaan lebih kondusif kepada pengusaha tempatan.
Bandukan Breezewalk dijangka menjadi tarikan baharu yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada imej Taman Awam Bandukan, malah berpotensi menarik kedatangan pelancong dari luar daerah.
Majlis penyerahan projek siap berkenaan berlangsung pada 19 Ogos lalu dalam satu acara ringkas di taman berkenaan.
Penyerahan projek disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Keningau, Mohd Azri Jaini Jeffrey, kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau (MDK), Mohd Fawzi Mohd Kadir.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Pengerusi MDK, Rafie Robert, bersama beberapa pegawai kanan lain.
Projek ini diharap bukan sahaja memperindah landskap Taman Awam Bandukan, malah dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti keusahawanan komuniti setempat.