
KUNAK: Pembangunan Bandar Baharu Kunak disifatkan bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di daerah ini sekali gus menyokong kemajuan menyeluruh Sabah dalam jangka panjang.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pembinaan bandar moden itu merupakan detik bersejarah buat Kunak apabila daerah ini dipacu menjadi pusat pertumbuhan baharu yang lengkap dan strategik.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi yang dirancang secara berfasa dalam tempoh lima hingga 15 tahun itu dijangka mengubah wajah Kunak serta membuka ruang pelbagai peluang ekonomi dan pelaburan.
“Saya tertarik dengan perancangan yang dibentangkan pihak konsultan kerana ia bukan sahaja membangunkan sebuah bandar moden, tetapi juga menjadi teras baharu aktiviti ekonomi di Kunak.
“Kita yakin bandar baharu ini akan membuka lebih banyak peluang agar Kunak dapat maju seiring bandar-bandar lain di Sabah,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Baharu Kunak di sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Pengarah Amazing Synergy Realty Sdn Bhd, Chia Seong Pow.
Masidi berkata, lokasi projek yang berhampiran Lebuhraya Pan Borneo memberi kelebihan besar kepada Kunak sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya dalam menghubungkan daerah ini ke bandar utama seperti Kota Kinabalu.
Beliau berkata, keyakinan pelabur terhadap potensi Kunak turut dibuktikan dengan pemilihan daerah itu oleh Amazing Synergy Realty Sdn Bhd sebagai lokasi pelaburan utama mereka.
“Pembangunan ini bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah pengguna Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan ini turut mendapat kemudahan daripada pembangunan ini,” katanya.
Tambahnya, pembangunan bandar baharu itu diyakini dapat merancakkan sektor pelancongan Kunak yang sebelum ini kurang diberi perhatian meskipun memiliki pelbagai produk pelancongan berpotensi.
“Kunak masih kekurangan kemudahan tempat tinggal dan infrastruktur pelancongan. Dengan adanya pembangunan ini, kita yakin pihak pemaju akan menyediakan kemudahan lengkap bagi merangsang sektor pelancongan.
“Malah, pembangunan ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada industri lain termasuk pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.
Beliau berkata, dengan jaringan lebuh raya yang lebih cekap, hasil pertanian Kunak dapat dipasarkan ke kawasan lain termasuk Kota Kinabalu dalam tempoh yang lebih singkat.
Masidi menegaskan pembangunan di daerah kecil seperti Kunak yang memiliki populasi sekitar 65,000 hingga 68,000 orang memerlukan pendekatan berbeza, namun tetap memberi kesan besar jika dilaksanakan dengan strategi yang tepat.
“Ekonomi negeri yang berkembang tidak hanya bergantung kepada bandar besar, tetapi juga daerah seperti Kunak yang sumbangannya, walaupun berskala kecil, tetap memberi impak kumulatif kepada Sabah secara keseluruhan,” katanya.