KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat lagi calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata dengan pengumuman ini ia telah melengkapkan senarai 55 calon GRS yang akan bertanding pada pilihan raya ini.
Empat calon itu adalah Dr Bonaventure Boniface yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Tamparuli manakala Rafie Robert Tawik (DUN N40 Bingkor); Samsiah Usman (DUN N70 Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (DUN N73 Sebatik).
“Semua calon-calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka berupaya untuk memenangi pilihan raya ini,” katanya di sini pada Khamis.
Hajiji sekali lagi menyeru semua penyokong GRS agar bersatu dan memastikan kemenangan untuk GRS, bagi memberikan kerajaan pimpinan GRS mandat sekali lagi untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.
Pada Rabu, Hajiji telah mengumumkan seramai 51 calon yang akan bertanding pada PRU DUN Sabah ke-17, yang rmenampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan calon muda dengan 35 peratus terdiri daripada muka baharu.
