
Lahad Datu: Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai selepas merampas 95,000 batang rokok dalam serbuan di Kampung Silam, baru-baru ini.
Operasi khas dinamakan Taring Landai Khas itu dijalankan sekitar jam 12 tengah malam pada 20 September lalu, hasil maklumat risikan yang dilakukan oleh pasukan Marin Sabah. Rumah yang diserbu dipercayai menjadi tempat penyimpanan rokok sebelum dibawa masuk ke pasaran gelap.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenama rokok dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM114,000.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967. Kejayaan ini adalah hasil risikan terancang serta tindakan pantas anggota di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.