
KOTA MARUDU: Hampir 3,000 kotak makanan sejuk beku pelbagai jenama bernilai lebih RM656,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di sebuah premis di daerah ini, semalam.
Operasi jam 10 pagi itu dijalankan Unit Risik Marin bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selepas premis berkenaan dipercayai gagal mematuhi peraturan penyimpanan makanan sejuk beku di bawah Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Makanan 1983.
Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 2,971 kotak makanan sejuk beku yang diimport dari negara tidak diiktiraf. Seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan barangan tersebut.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata nilai rampasan dianggarkan RM656,197 dan kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983 serta Enakmen Haiwan 2015.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Kerjasama orang awam amat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.