
SEMPORNA: Cubaan sindiket menyembunyikan minyak petrol bersubsidi di penempatan atas air tidak kesampaian apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah menggempur kawasan Kampung Batu, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 6 petang itu, Unit Gempur Marin (UNGERIN) Wilayah 4 menyerbu beberapa premis dan bot yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
Hasil serbuan, polis berjaya merampas 327 jerekin berisi petrol bersama tiga buah bot dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM252,075.25.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan berkenaan membuktikan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui penyeludupan bahan api bersubsidi ke negara jiran.
βKes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. PPM Wilayah 4 akan terus komited membanteras penyeludupan demi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara,β katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak terbabit.