
KOTA KINABALU : Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) hari ini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh berhubung kematian adik Zara Qairina yang dianggap sebagai satu tragedi besar yang membuka mata semua pihak.
Presidennya, Marlina Madjid berkata pemergian kanak-kanak itu bukan sekadar kisah duka sebuah keluarga, tetapi satu tamparan terhadap sistem keselamatan pelajar di sekolah yang seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.
“Selepas hampir dua minggu berlalu, siasatan yang masih belum menunjukkan perkembangan konkrit menimbulkan kebimbangan ramai, terutama ibu bapa di Sabah dan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, AWS memandang serius dakwaan kemungkinan berlaku unsur buli, kecuaian atau penganiayaan yang perlu disiasat secara terbuka tanpa ada pihak cuba menutup kelemahan.
“PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti menunjukkan komitmen penuh. Semua pihak di sekolah, termasuk guru, warden dan pengurusan asrama wajib dipanggil dan beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, jika isu ini tidak ditangani dengan tuntas, ia hanya membuka ruang kepada insiden seumpama ini berulang dan menghakis keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah berasrama.
“AWS berharap tragedi ini jadi pengajaran besar. Jangan biarkan pemergian adik Zara dilupakan begitu sahaja. Jadikan ia titik mula pembaharuan terhadap dasar perlindungan pelajar dengan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya.
Marlina turut menyeru orang ramai supaya terus bersuara menuntut keadilan agar kebenaran terbela dan tragedi sama tidak berulang.
“Keadilan untuk Zara mesti ditegakkan, kebenaran mesti didedahkan dan keselamatan anak-anak mesti diutamakan,” katanya.