
TUARAN : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan keputusan Pejabat Peguam Negara mengarahkan siasatan susulan termasuk bedah siasat dengan menggali semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina sebagai langkah yang tepat.
Beliau berkata, tindakan itu sepatutnya diambil sejak awal bagi mana-mana kes kematian yang tidak jelas punca bagi mengelakkan timbulnya isu berbangkit.
“Dalam keadaan itu, Pegawai Penyiasat mempunyai kewajipan untuk menentukannya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah. Diharap PDRM membuat tindakan susulan segera untuk proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Betitik sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 di Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Armizan turut mencadangkan pihak berkuasa mempertimbangkan prosiding inkues sekiranya keadaan memerlukan kerana ia memberi ruang kepada saksi-saksi relevan tampil memberi keterangan secara terbuka.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan pelbagai spekulasi dan fitnah, khususnya dalam kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum.
“Memang ada pihak cuba mengambil kesempatan membuat spekulasi atas motif tertentu, namun lebih ramai rakyat yang mahu mencari kebenaran dan menuntut keadilan. Keadilan perlu ditegakkan buat arwah Zara dan sebarang spekulasi serta fitnah perlu dibendung melalui proses telus,” katanya.