
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
Beliau berkata Malaysia akan menggunakan platform diplomasi itu untuk terus menyuarakan isu Gaza dan Palestin, selain mengekalkan pendirian tegas dalam mempertahankan kebenaran dengan cara berstrategi.
“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan. Suara kita tetap menyatakan yang benar tetapi dengan cara bijaksana,” katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah Wira Madani dan sambutan ulang tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Sandakan, hari ini.
Menurut Anwar, penolakan terhadap hubungan dengan Amerika Syarikat boleh menjejaskan kepentingan ekonomi negara kerana nilai eksport semikonduktor Malaysia ke negara itu bernilai berbilion ringgit, melibatkan puluhan ribu pekerja tempatan.
Beliau berkata walaupun Malaysia sebuah negara kecil, dasar luar yang jelas dan terbuka menjadikan negara ini terus dihormati dunia, termasuk dalam peranan sebagai orang tengah menyelesaikan konflik serantau seperti di sempadan Thailand-Kemboja dan proses kemerdekaan Timor-Leste.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini dengan penyertaan pemimpin utama dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.