
Lahad Datu : Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Jawa, Jalan Segama.
Tertuduh, Azizan Azman Lee, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Sitti Zubaeda Haji M Kasim.
Berdasarkan fakta kes, insiden berlaku pada 30 Julai lalu kira-kira jam 6.15 petang apabila tertuduh bertindak mengamuk sambil memegang parang dan mengeluarkan ugutan “Aku selasing daddy” kepada mangsa. Ugutan itu menyebabkan mangsa berasa takut, terutama selepas tertuduh pernah ditangkap atas kesalahan yang sama sebelum ini.
Kejadian itu turut disaksikan oleh cucu mangsa yang berada di rumah berkenaan ketika kejadian. Siasatan mendapati punca kemarahan tertuduh adalah kerana tidak berpuas hati selepas mengetahui gitar yang pernah diberikan kepadanya oleh mangsa telah dipinjamkan kepada cucu mangsa yang melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik.
Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan juga mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah. Hasil saringan air kencing turut mengesahkan dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.