
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, saya melihat dengan jelas gelombang semangat anak muda yang mahu tampil, memimpin dan membawa perubahan. Ini bukan lagi masanya untuk mereka hanya menjadi penonton. Anak muda sudah bersedia menjadi pemain utama di pentas politik negeri.
Lebih separuh daripada rakyat Sabah hari ini berusia di bawah 40 tahun, satu realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Jika kita benar-benar mahu membina masa depan Sabah yang makmur dan inklusif, suara anak muda mesti berada di meja pembuat keputusan, bukan sekadar bergema di luar pagar.
Saya menyeru kepimpinan parti untuk berani mengetengahkan calon-calon muda yang berkelayakan, berwibawa dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Calon yang memahami denyut nadi rakyat, mampu membina jaringan sokongan akar umbi yang kukuh, serta bijak menyampaikan dasar dalam bahasa yang mudah difahami dan dekat di hati orang ramai.
Ini bukan soal umur semata-mata, tetapi soal keberanian, visi dan keupayaan. Ramai di antara mereka telah membuktikan kemampuan melalui aktivisme sosial, gerakan reformasi dan kerja lapangan bersama masyarakat.
Gabungan tenaga serta idealisme anak muda dengan kebijaksanaan kepimpinan sedia ada adalah kunci kepada pentadbiran yang segar, berani dan berdaya tahan. Inilah masanya untuk kita memperbaharui naratif pembangunan negeri dan melangkah keluar daripada kerangka lama.
Jika parti KEADILAN mahu tampil sebagai parti masa depan, maka parti mesti berani meletakkan masa depan itu di bahu generasi muda. Inilah langkah strategik, pragmatik dan berani yang akan memperkukuh keyakinan rakyat bahawa kita benar-benar memahami aspirasi mereka.
Mohammad Mirza Muazzam
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sabah Merangkap Ketua Penerangan Keadilan Cabang P.187 Kinabatangan