
KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan tindakan berterusan ahli perniagaan, Albert Tei, menyerang pimpinan negeri sebagai langkah terdesak seorang “kaki putar alam” yang sudah hilang kredibiliti.
Beliau berkata, meskipun Albert Tei sedang berdepan kes di mahkamah selepas dihalang memasuki Sabah, individu itu masih tidak berhenti menimbulkan isu baharu termasuk menuduh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan menerima imbuhan berkaitan urusan lesen perlombongan mineral.
“Berdasarkan video yang tular, Albert secara terbuka menyebut jumlah yang didakwa diberikannya kepada pemimpin negeri. Namun, tuduhan ini amat mengelirukan kerana pada sesi pertama perbicaraan, beliau sendiri mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan sebagai pemberi rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aksyah menegaskan, pengakuan itu secara jelas menimbulkan keraguan besar terhadap dakwaan Albert.
“Jika beliau tidak mengaku memberi rasuah, maka wang yang disebut itu lebih berupa sumbangan dana politik, bukannya rasuah. Persoalannya, bagaimana rasuah boleh berlaku jika hanya ada ‘penerima’ tanpa ada sesiapa yang mengaku sebagai pemberi?” katanya.
Mengulas lanjut, Aksyah merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang menetapkan bahawa sesuatu kesalahan rasuah hanya wujud apabila terdapat pemberi dan penerima imbuhan.
“Tambahan pula, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dituduh Albert tidak pernah memegang jawatan dalam Syarikat Mineral Malaysia (SMM). Jadi, apa sebenarnya yang cuba dilakonkan oleh Albert, dan siapa pula pengarah di sebalik skrip ini?” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Sabah wajar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan ‘drama’ ciptaan Albert.
“Adakah seorang ‘scammer’ seperti Albert boleh dipercayai? Lebih menjengkelkan, setiap kali muncul di media, nama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pasti dikaitkan. Ini jelas menunjukkan rasa dendamnya terhadap Hajiji yang berjaya menggagalkan cubaan Albert merompak hasil bumi Sabah,” katanya.
Menurut Aksyah, tindakan Albert tidak lebih daripada sandiwara politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Amat jelas, apa yang dimainkan sekarang hanyalah gimik politik di ambang PRN. Rakyat Sabah perlu melihat siapa sebenarnya cuba mengelirukan mereka. Bagi saya, Albert Tei hanyalah ‘kaki putar alam’,” tegasnya.