
TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing yang akan diumumkan pada Hari Penamaan Calon.
“Ya, kami sudah tahu (tapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada Hari Penamaan Calon dan anda akan tahu bilangannya,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GRS dan PH telah mencapai keputusan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.
Hajiji turut memaklumkan bahawa GRS akan melancarkan manifestonya selepas Hari Penamaan Calon.
“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan di sini hari ini.
Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRSPH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.
“Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat. Kami telah membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.
“Kami telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan. Kami juga memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih.
“Kami turut mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas. Pembangkang cuba menafikan kejayaan ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami,” katanya.
Hajiji turut menyatakan bahawa Pilihan Raya Negeri kali ini akan lebih meriah dengan banyak parti politik telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.
“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya.