KENINGAU: Universiti Malaysia Sabah UMS terus memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi apabila Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan AFEEDRI di bawah Pusat Pengurusan EcoFarm UMS, Apin Apin Keningau dirasmikan pada Khamis.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor yang menyifatkan penubuhan AFEEDRI sebagai langkah strategik untuk menjadikan EcoFarm sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi dalam bidang makanan ternakan dan agro bioindustri.
Menurut beliau, AFEEDRI akan memacu penyelidikan berimpak tinggi serta memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti dan industri.
“Penubuhan AFEEDRI adalah satu inisiatif penting untuk menyokong pembangunan pertanian pintar dan kelestarian sektor agro bioindustri di Sabah dan negara,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, pusat tersebut turut berperanan sebagai platform pembelajaran berteraskan teknologi pertanian pintar selain menyediakan ruang kolaborasi antara penyelidik, pemain industri dan komuniti setempat.
Jelasnya, usaha itu selari dengan agenda keselamatan makanan negara serta keperluan memperkukuh ekosistem penyelidikan yang berorientasikan aplikasi dan manfaat kepada masyarakat.
Dalam majlis sama turut berlangsung pertukaran dokumen pelanjutan Memorandum Perjanjian penyelidikan dan pembangunan antara UMS dan Hafiz Farm serta penganjuran Hari Industri EcoFarm.
Program berkenaan menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, penyelidik dan pelajar sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama serta pemindahan ilmu dan teknologi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hafiz Farm, Haji Yussup Nannong merakamkan penghargaan kepada pihak UMS kerana terus memberi kepercayaan kepada syarikatnya untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
“Saya berharap kerjasama ini dapat membantu merancakkan ekonomi, khususnya dalam bidang ternakan lembu di Sabah, di samping memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar UMS untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari,” katanya.
