KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin meminta Kerajaan Negeri menjelaskan status terkini senarai projek atau “wishlist” di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi daerah Nabawan yang telah dikemukakan pada awal 2025 untuk pertimbangan pelaksanaan bermula 2026.
Beliau turut mempersoalkan kelewatan pelaksanaan beberapa projek pembangunan bernilai melebihi RM500,000 di Nabawan, termasuk pembinaan jambatan pekan Nabawan dan bangunan Mahkamah Anak Negeri Nabawan, yang menurutnya telah melepasi jadual asal.
Menurut Abdul Ghani, penjelasan yang lebih telus perlu diberikan, khususnya berkaitan isu di peringkat agensi pelaksana, memandangkan projek berkenaan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan tatacara pengurusan projek ditambah baik dan proses birokrasi antara peringkat pusat atau ibu pejabat dengan daerah dikurangkan.
Beliau juga menyarankan had nilai sebut harga kerja kecil di peringkat negeri Sabah dinaikkan selaras dengan peningkatan kos semasa.
Abdul Ghani berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Menyentuh agihan belanjawan pembangunan infrastruktur dan prasarana awam luar bandar, beliau menegaskan kawasan luar bandar wajar diberi keutamaan serta peruntukan lebih besar selari usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Beliau berkata, Nabawan yang merupakan daerah keempat terbesar di Sabah, termasuk daerah kecil Pagalungan berhampiran sempadan Indonesia, masih berdepan keperluan mendesak khususnya infrastruktur asas dan kemudahan awam.
Abdul Ghani turut mengimbas aduan rakyat semasa kempen pilihan raya lalu, termasuk kejadian tidak diduga akibat kelewatan menaik taraf dua jambatan yang telah beberapa kali dibangkitkan dalam persidangan DUN.
Beliau menegaskan isu berkenaan perlu diselesaikan segera oleh agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd. serta pihak berkaitan tanpa sebarang penangguhan.
Beliau turut memohon supaya jalan konkrit kampung yang rosak di bawah seliaan kerajaan negeri dipantau dan dibaiki segera, selain menaik taraf jalan perhubungan utama termasuk laluan bekas balak dan pertanian seperti jalan Kampung Pemunterian ke Kampung Ulu Mesopoh sepanjang kira-kira 12 kilometer.
Abdul Ghani juga mencadangkan pembinaan konkrit gabion di tebing sungai, khususnya di daerah kecil Pagalungan, bagi mengelakkan kejadian runtuhan tanah yang sebelum ini memusnahkan beberapa rumah penduduk.
Mengenai bekalan elektrik dan air bersih, beliau memaklumkan masih banyak aduan daripada penduduk pedalaman Nabawan yang menunggu sambungan elektrik sejak sekian lama, selain masalah bekalan air yang sering terputus atau menjadi keruh ketika musim hujan.
Sebagai langkah sementara, beliau mencadangkan penyaluran bekalan alternatif seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) khususnya ke kawasan terpencil.
Dalam aspek pengurusan tanah, Abdul Ghani meminta penjelasan status lot-lot tanah Skim Nabawan, termasuk sama ada Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan membubarkan skim berkenaan dan menyerahkan lot-lot tanah secara berperingkat kepada masyarakat setempat, memandangkan kebanyakannya telah diterokai.
Beliau juga mempersoalkan status permohonan pewartaan Mukim Tatalaan Nabawan yang menurutnya perlu disegerakan berikutan perubahan demografi bagi melancarkan urusan pentadbiran.
Terdahulu, Abdul Ghani merakamkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah serta Ketua Menteri Sabah atas pembentangan Belanjawan 2026 berjumlah RM6.402 bilion, sambil berharap pelaksanaannya benar-benar memberi impak dan manfaat kepada seluruh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar
