
KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menyeru seramai 660,000 pengundi baharu dan muda di negeri ini agar menggunakan kuasa undi mereka dengan bijak untuk mengekalkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik serta masa depan yang lebih terjamin.
Beliau berkata, sepanjang pentadbiran GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pelbagai inisiatif dan dasar pro-belia telah dilaksanakan bagi memperkasa golongan muda dan beliawanis di Sabah.
“GRS telah membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan belia dan pendidikan. Banyak peruntukan ditingkatkan, termasuk bantuan kepada pelajar dan institusi pendidikan, yang secara langsung memberi kesan positif kepada generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aksyah, kejayaan anak muda Sabah dalam bidang sukan, kebudayaan dan akademik bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada dasar dan sokongan berterusan kerajaan GRS yang memahami keperluan mereka.
Beliau menegaskan, setiap tahun kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas terus ke akaun sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan aktiviti pelajar dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa bergantung sepenuhnya kepada kutipan sumbangan masyarakat.
“Inisiatif sebegini tidak berlaku ketika pentadbiran terdahulu. Zaman BN dan Warisan, banyak PIBG terpaksa bergantung kepada sumbangan pemimpin kawasan. GRS telah mengubah keadaan itu,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi turut menikmati pelbagai bantuan pendidikan dan biasiswa khas yang dilaksanakan oleh GRS bagi memastikan perjalanan pengajian mereka tidak terganggu.
Aksyah turut memberi amaran bahawa dasar-dasar mesra belia yang diperjuangkan selama ini mungkin berubah sekiranya mandat rakyat diberikan kepada parti lain seperti BN atau Warisan.
“Tidak ada jaminan dasar sedia ada akan diteruskan jika kerajaan bertukar tangan. Sebab itu penting untuk kita berfikir rasional, bukan mengundi berasaskan emosi,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat terutama pengundi muda perlu menghargai kestabilan yang telah diwujudkan oleh GRS dan terus mempercayai kepimpinan Hajiji yang disifatkannya sebagai pemimpin tempatan berjiwa rakyat dan memahami denyut nadi generasi muda Sabah.
“Jika kita memilih atas dasar emosi, tindakan itu ibarat membunuh angsa emas yang selama ini memberi kemakmuran kepada kita. Biarlah akal mendahului emosi,” ujarnya.
Sebagai peringatan, Aksyah turut menyeru agar pengundi muda mengekalkan sokongan kepada parti tempatan.
“Pastikan undi anda untuk GRS supaya pentadbiran Sabah kekal stabil dan ditunjangi oleh parti anak negeri. Seperti pesan orang tua, lebih baik rumah dijaga keluarga sendiri daripada diserah kepada orang luar,” katanya.