
Kota Kinabalu : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan daripada 60 saksi berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun. Zara ditemui maut, dipercayai terjatuh dari bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Kota Kinabalu.
Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan siasatan telah diperinci, dengan beberapa keterangan lain turut dirakam.
“Siasatan untuk kes ini telah berada di peringkat akhir, yang mana lebih kurang 60 saksi telah dirakam oleh pihak PDRM. Juga beberapa keterangan-keterangan lain telah kita ambil. Alhamdulillah, buat masa sekarang, siasatan ini telah kita bawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak-anak VIP yang bersekolah di sana, termasuk diri saya sendiri, saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah ini. Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini.
Beliau turut menjelaskan, sebuah pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci, termasuklah membantu proses kaunseling kepada pelajar-pelajar yang mengalami trauma.
PDRM tidak menolak sebarang kemungkinan berdasarkan keterangan yang diterima setakat ini. Jauteh turut menafikan dakwaan yang mengaitkan ahli keluarga VIP, termasuk anak beliau, terlibat atau bersekolah di institusi tersebut.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan untuk menimbulkan spekulasi tidak sihat dalam kes yang masih dalam siasatan.
Kertas siasatan kini di peringkat akhir dan sudah diserahkan kepada Bukit Aman untuk penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.