
SANDAKAN: Seramai 53 penduduk Kampung Kitagas Batu 27 menerima sumbangan dalam Program Bantuan Khas yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, semalam.
Bantuan berupa bakul makanan, kepingan zink dan papan lapis (plywood) itu diagihkan kepada penerima daripada golongan B40 pada majlis yang berlangsung di perkarangan kediaman Sabri Ladjarudin.
Program itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Dilantik dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kitagas.
Jaffari berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan menggunakan peruntukan peribadinya sebagai usaha memastikan penduduk luar bandar tidak tercicir daripada perhatian wakil rakyat.
“Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama menyampaikan bantuan ini dengan niat untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan. Apa yang penting, setiap keluarga mendapat manfaat secara langsung agar kehidupan mereka sedikit terbela,” katanya.
Penganjur program itu, Mahadir Abd Manaf berkata, penduduk kampung yang ditemui rata-rata melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan Datuk Jaffari.
Pengerusi JKKK Kg Kitagas, Daunah Surat menyifatkan kehadiran wakil rakyat itu menyerahkan sendiri sumbangan mencerminkan keikhlasan dan kepeduliannya terhadap masyarakat.
“Jarang pemimpin datang sendiri ke kampung kecil seperti ini. Kami amat hargai usaha YB yang sentiasa mendengar masalah rakyat,” ujarnya.
Seorang penerima berkata bantuan itu amat bermakna buat keluarganya yang berdepan kekangan kewangan.
“Terima kasih kepada ADUN Dilantik, Jaffari kerana prihatin. Bantuan ini bukan sahaja membantu dari segi makanan harian, malah zink dan papan lapis juga boleh digunakan untuk membaiki rumah kami,” katanya.
Deasoka