
LAHAD DATU : Seramai 51 pelayar antarabangsa daripada lapan negara menyertai program Sail Malaysia Passage To The East 2025 yang bermula di Kudat pada 1 Ogos lalu dan akan berakhir di Tawau pada 30 Ogos ini.
Sebanyak 23 kapal layar dari Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Jerman, Panama, Isle of Man dan Singapura mengambil bahagian dalam pelayaran tahunan berkenaan.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata rekod sifar kes penculikan sejak Januari 2020 membuktikan tahap keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah berada pada tahap tertinggi hasil kerjasama kerajaan dan ESSCOM.
“Pantai timur Sabah adalah kawasan yang selamat dengan kehadiran pasukan keselamatan. ESSCOM akan terus komited memastikan keselamatan pelayar dan pelancong sepanjang berada di perairan ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan program itu di W Bay Payang, di sini, pagi tadi.
Peserta dari Australia, Simon Hunt, berkata pelayaran kali ini memberi pengalaman yang menyeronokkan kerana mereka berasa sentiasa dilindungi.
“Kami tidak pernah berasa tidak selamat. Ia pengalaman hebat dan kami mahu kembali lagi, termasuk meluangkan masa di Tawau serta menyelam di kawasan Sipadan,” katanya.
Bagi pelayar dari Singapura, YP Loke, penyertaan dalam rali itu amat bermakna kerana ia adalah kali pertama beliau menyertai Sail Malaysia selain pengalaman pertama berlayar ke Borneo.
Sepanjang program ini, peserta singgah di beberapa destinasi di Pantai Timur Sabah termasuk Karakit, Jambongan, Silingan, Sandakan, Kinabatangan (Sukau), Tambisan dan Lahad Datu sebelum meneruskan pelayaran ke Kunak, Bohey Dulang (Semporna), Tagasan Bay dan berakhir di Tawau.