KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan menegaskan tuntutan supaya 40 peratus hasil daripada bumi Sabah dikembalikan kepada negeri ini adalah hak yang jelas termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Beliau berkata, keputusan mahkamah berkenaan dan suara tuntutan berterusan rakyat Sabah telah mencetuskan pelbagai hujah serta perbahasan dalam kalangan pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia, khususnya berkaitan hak Sabah dan kelangsungan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan keputusan mahkamah serta memenuhi tuntutan MA63.
Menurutnya, walaupun Sabah telah merdeka sejak puluhan tahun lalu dan negara hanya diperintah oleh kerajaan berbeza dalam tempoh kurang sedekad kebelakangan ini, ketidakadilan terhadap Sabah telah berlarutan sejak awal pembentukan Malaysia.
“Tuntutan dan suara Sabahan hari ini adalah hasil ketidakadilan berpanjangan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah. Jurang pembangunan dan kemajuan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak amat ketara,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Mazlan berkata, ketika rakyat di Semenanjung menikmati jaringan lebuh raya moden, bekalan elektrik serta sistem air yang tersusun, rakyat Sabah masih berdepan isu asas berkenaan secara serius dan terpaksa terus menagih simpati Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut membandingkan limpahan pembangunan di Semenanjung yang memberi kesan merentas negeri, seperti pembangunan di Johor yang memberi impak sehingga ke Kelantan atau pembangunan di Kuala Lumpur yang memberi manfaat ke seluruh Semenanjung, namun situasi itu tidak berlaku secara langsung kepada Sabah.
“Sabah perlu dilayan secara lebih adil dan saksama mengikut keperluan serta keutamaannya. Sabah tidak wajar disamakan dengan negeri-negeri seperti Melaka atau Pahang kerana dari segi keluasan sahaja sudah jauh berbeza,” katanya.
Mazlan menegaskan, gabungan keluasan Sabah dan Sarawak menggambarkan wilayah yang jauh lebih besar berbanding Semenanjung Malaysia, justeru pendekatan pembangunan serta agihan hasil perlu mengambil kira realiti tersebut.
Beliau berkata, keadilan kepada Sabah dan Sarawak bukan sahaja perlu dizahirkan melalui keputusan kepimpinan politik, malah menuntut keikhlasan pembesar serta penjawat awam Persekutuan dalam memahami dan melaksanakan dasar yang adil.
“Keadilan mesti datang bersama keikhlasan jika benar mahu melihat Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Mazlan menegaskan, ketidakadilan yang berpanjangan inilah yang menyemarakkan semangat tuntutan rakyat Sabah terhadap hak mereka yang termaktub dalam MA63.
“Kami tidak meminta lebih dan tidak mengganggu hak sesiapa. Kami hanya menuntut hak kami yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, Sabah tidak boleh terus bergantung kepada simpati dan ehsan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri, sebaliknya memerlukan pemenuhan hak agar kerajaan negeri dapat memainkan peranan lebih besar dalam merancang dan melaksanakan pembangunan sendiri.
“Malaysia negaraku, Sabah tanah airku,” katanya.
