
LAHAD DATU : Hidup dalam keadaan serba sederhana dan tinggal di rumah usang selama lebih 25 tahun bukanlah sesuatu yang mudah, namun seperti kata pepatah, rezeki tidak akan pernah salah alamat.
Itulah yang dilalui oleh Mohd Idris Lepas dan keluarganya apabila mereka kini mampu tersenyum selepas menerima rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun ini.
Mohd Idris yang bekerja sendiri berkata, kehidupannya sebelum ini sangat mencabar kerana keadaan rumah yang terlalu uzur dan tidak lagi sesuai didiami.
“Di rumah ada enam orang lah, sama anak. Yang lain semua kerja, ada tiga orang lah,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, sebelum ini pendapatannya tidak menentu dan hanya bergantung kepada kerja sambilan.
“Kerja sendiri lah. Orang panggil macam baik kereta kah, baik gulai tu siap. Kadang-kadang kalau ada, ada lah, tak ada, gitu lah,” ujarnya.
Kini, setelah menerima rumah baharu melalui inisiatif PPRS, keluarganya dapat hidup dengan lebih selesa dan selamat.
“Memang susah saya mau katakan keadaan rumah dulu. Memang terlalu usang, betul lah. Ini pun berapa tahun, nah ini tahun baru saya rasa selesa,” katanya dengan penuh kesyukuran.
Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Maizatul Akmam Alawi berkata, setakat Oktober tahun ini, sebanyak 851 rumah baharu PPRS telah diluluskan dan dibina di Sabah, manakala 2,725 rumah lagi telah dibaik pulih.
“Proses pemilihan penerima PPRS ini memang agak ketat. Mereka yang dipilih adalah daripada golongan yang benar-benar layak seperti miskin tegar, mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir,” jelasnya.
Tambahnya, permohonan program ini kini boleh dibuat secara dalam talian oleh mereka yang benar-benar memerlukan.
Program PPRS di bawah KKDW terus menjadi antara inisiatif kerajaan paling signifikan dalam membantu rakyat miskin di luar bandar memiliki rumah yang lebih selesa dan selamat.