
KUNAK, 26 Ogos 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) dalam operasi bersepadu di sini, kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu membawa kepada penemuan 23.9 metrik tan CPO di sebuah premis yang dijadikan stor pengumpulan haram.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, selain CPO, pihak berkuasa turut menyita beberapa kenderaan dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.
“Dua lelaki tempatan berusia 25 hingga 38 tahun ditahan untuk membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.15 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
ACP Mohd Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah komited membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan minyak sawit yang menjejaskan hasil negara.
“Kami mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung sebarang aktiviti jenayah agar tindakan tegas dapat diambil,” katanya.