
KENINGAU: Sebanyak 226 peserta dari pelbagai daerah di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Apin-Apin Slingshot Championship 2025, iaitu kejohanan melastik terbuka Sabah yang berlangsung di Bangunan Tamu Apin-Apin, hari ini.
Kejohanan julung kali itu dianjurkan oleh Apin-Apin Slingshot Community (AASC) yang dipengerusikan Brien Francis, dengan penyertaan merangkumi peserta dari Keningau, Sook, Tenom, Membakut, Papar, Tuaran dan Ranau.
Hadiah pertandingan ditaja oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran tersebut.
“Program seumpama ini sangat baik kerana mampu mengisi masa lapang belia dengan aktiviti bermanfaat, selain menarik kehadiran peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negeri.
“Saya melihat potensi besar jika kejohanan seperti ini dianjurkan secara konsisten kerana ia mampu memberikan nilai tambah kepada industri pelancongan daerah,” katanya.
Menurutnya, selain memperkenalkan kembali sukan tradisi melastik kepada generasi muda, kejohanan itu juga menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat setempat serta membuka ruang baharu menjadikan Keningau sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan di Sabah.