KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan tahun 2026 sebagai garis permulaan penting bagi merintis hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) selepas rakyat Sabah membuat keputusan jelas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-17.
Menurutnya, detik peralihan ke tahun baharu itu hadir selepas 2025 mencatatkan sejarah tersendiri sebagai tahun paling mencabar dan mendebarkan apabila PRU DUN 17 menjadi penentu hala tuju kepimpinan dan masa depan negeri.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kemenangan berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menjadi tonggak Kerajaan GRSPlus bagi lima tahun akan datang,” katanya dalam posting di Facebooknya sempena akhir tahun, hari ini.
Aksyah berkata, pelantikan semula Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal DUN ke-17 merupakan satu amanah besar yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan, keputusan rakyat dalam PRU DUN 17 juga wajar dilihat sebagai satu referendum jelas bahawa masyarakat Sabah menginginkan parti tempatan terus menjadi teras kepimpinan negeri bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan pelaksanaan SMJ 2.0.
“Semua keputusan ini adalah ketentuan Allah SWT sebagai restu agar rakyat Sabah dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan yang telah direncanakan dalam hala tuju SMJ 2.0,” katanya.
Mengulas tahun 2026 yang bakal bermula, Aksyah berkata Ketua Menteri sebelum ini telah menggariskan corak pentadbiran baharu termasuk penekanan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur serta reformasi institusi melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah supaya memperlahankan suhu politik dan memberikan tumpuan penuh kepada pelaksanaan agenda pembangunan yang telah dirancang di bawah SMJ 2.0.
“Ayuh rakyat Sabah, kita berehat sebentar daripada berpolitik dan fokus kepada pelaksanaan demi pelaksanaan SMJ 2.0 yang bakal bermula,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat mengharapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan agar dasar Kerajaan GRSPlus benar-benar mampu membawa kesejahteraan hidup yang aman, makmur, stabil dan sejahtera kepada seluruh rakyat Sabah.
Aksyah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat negeri ini dengan harapan Sabah terus melangkah maju di bawah kepimpinan sedia ada.
