
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa sebanyak 184 syarikat usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak telah menerima bantuan di bawah inisiatif Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP PLUS) sejak diperkenalkan pada tahun 2023.
BEEP PLUS merupakan inisiatif bantuan berbentuk geran padanan bagi menyokong pengembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Inisiatif BEEP PLUS merupakan pendekatan fokus tambahan yang saya perkenalkan di KUSKOP bagi membantu keperluan kumpulan sasar di Sabah dan Sarawak di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara – Perspektif KUSKOP iaitu bertujuan membantu pembangunan keusahawanan berasaskan isu dan cabaran di kedua-dua negeri.
“Susulan pembentangan agenda Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri pada tahun 2023, SME Corp Malaysia telah diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta. Saya seterusnya mencetuskan inisiatif pemberian geran khas kepada usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu BEEP PLUS.
“Sejak diperkenalkan dari tahun 2023 sehingga 2025 ini, seramai 184 usahawan telah menerima bantuan geran padanan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.68 juta,” katanya.
Ewon menyatakan demikian selepas mengunjungi enam usahawan penerima geran BEEP PLUS di Penampang dan Putatan yang menerima di antara RM20,000.00 sehingga RM245,000.00.
“Sepanjang kunjungan saya kepada usahawan-usahawan penerima geran BEEP PLUS, mereka menyatakan bantuan geran tersebut membantu meningkatkan produktiviti, meningkatkan hasil jualan serta membantu berhadapan kos perniagaan. Mereka juga berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan agar lebih ramai usahawan lain mendapat manfaat.
“Saya akan mengadakan libat urus dengan usahawan-usahawan penerima bantuan geran daripada SME Corp pada bulan September ini di Sabah dan menjadikan platform tersebut sebagai dialog belanjawan serta input untuk kajian separuh penggal Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
“Di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sabah dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030, saya beriltizam untuk meneruskan inisiatif BEEP PLUS dan inisiatif-inisiatif lain yang bersesuaian,” katanya.
Turut sama hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy dan Pengarah SME Corp Sabah Valentine Thomas.
Deasoka